Kementerian Luar sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan India berhubung penahanan 17 jemaah tabligh rakyat Malaysia di negara itu yang dikaitkan dengan penyalahgunaan visa.

Timbalan menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, berdasarkan maklumat awal, mereka ditahan mengikut National Disaster Management Act 2005, Foreigners Act 1946 dan Indian Penal Code.

"Buat masa ini, Wisma Putra sedang dalam proses mengenal pasti permasalahan dan mendapatkan cerita sebenar di sebalik isu ini daripada kerajaan India," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Kamarudin menjelaskan sehingga kini seramai 191 jemaah tabligh rakyat Malaysia sedang dikuarantin di India.

Katanya, Wisma Putra menerusi perwakilan Malaysia di India sentiasa memantau rapat isu jemaah tabligh rakyat Malaysia yang sedang dikuarantin di hospital atau pusat kuarantin khas di beberapa wilayah di India.

Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi juga katanya, telah menghulurkan bantuan termasuk memberikan pek penjagaan diri kepada sebahagian daripada jemaah tabligh yang sedang dikuarantin itu.

Beliau turut menjelaskan Malaysia belum mendapat sebarang maklumat rasmi daripada kerajaan negara itu berhubung status rakyat Malaysia yang dikuarantin termasuk tempoh mereka akan diletakkan di pusat tersebut dan tindakan susulan selepas proses itu selesai.

"Saya berharap jangan ada mana-mana pihak yang mempolitikkan isu ini apatah lagi mengaitkannya dengan isu keagamaan.

"Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat bahkan boleh merumitkan rundingan antara kedua-dua negara," jelasnya.

Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, setakat ini, seramai 2,873 rakyat Malaysia yang terkandas di India telah dibawa pulang menaiki 21 penerbangan sewa khas.

Beliau menambah, Wisma Putra juga sedang berusaha membawa pulang baki rakyat Malaysia yang terkandas di India tanpa mengambil kira latar belakang bangsa dan agama.

"Wisma Putra sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa diskriminasi kepada mana-mana pihak," ujarnya.