Seramai 22 remaja termasuk lima pelajar perempuan ditahan ketika menyertai satu parti liar dan pesta dadah di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi Ahad.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi pada sekitar jam 3 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, siasatan awal mendapati 17 daripada mereka, termasuk tiga perempuan, merupakan pelajar sekolah di sekitar Lembah Klang.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati seramai enam orang, termasuk seorang perempuan, positif dadah.

"Turut dirampas, dua paket plastik dadah jenis Ketamin (1.8 gram), tiga biji pil Ecstacy (1 gram), dua biji pil Eramin 5 (0.6 gram), satu botol air ketum (1.5 liter) dan ketulan daun kering ganja (4.3 gram)," katanya dalam satu kenyataan, lewat malam ini.

Mohd Fahmi berkata, kesemua tahanan berumur antara 15 dan 22 tahun telah direman selama empat hari mulai Isnin di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehubungan itu, polis menyeru kepada ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap setiap pergaulan dan aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.