Seramai 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS, UMNO dan Bebas tiba di Wisma Darul Aman di sini sekitar jam 9.15 pagi bagi menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Gabungan yang membentuk Perikatan Nasional (PN) Kedah itu terdiri daripada 15 ADUN Pas, 2 ADUN Barisan Nasional (BN) dan 2 Adun Bebas.

ADUN Jeneri yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mendahului ketibaan para wakil rakyat terbabit, diikuti konvoi dari 14 ADUN Pas yang lain.

Antara yang turut kelihatan, ADUN yang berada dalam kepimpinan tertinggi PAS Kedah iaitu ADUN Tokai Datuk Dr Mohd Hayati Othman, ADUN Sg Limau Mohd Azam Abd Samat, ADUN Bukit Pinang Wan Romani Wan Salim dan ADUN Merbau Pulas Datuk Siti Aishah Ghazali.

Wakil BN pula, iaitu ADUN Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor dan ADUN Sungai Tiang Suraya Yaacob, tiba kira-kira lima minit kemudian.

ADUN Tokai Datuk Dr Mohd Hayati Othman tiba di Wisma Darul Aman. --fotoBERNAMA

Sementara itu, dua ADUN Bebas yang baru sahaja mengumumkan keluar dari PKR, iaitu ADUN Lunas Azman Nasrudin dan ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee, tiba pada jam 9.25 pagi, mengakhiri ketibaan 19 ADUN tersebut.

Bagaimanapun, keberadaan empat ADUN dari Bersatu yang dikhabarkan akan menyertai PN masih menjadi tanda tanya selepas kelibat mereka masih belum kelihatan setakat ini.

BACA: 36 ADUN Kedah menghadap Sultan Kedah esok

BACA: "Saya masih lagi Menteri Besar Kedah" - Mukhriz Mahathir

BACA: Siapa pun jadi MB, yang penting rakyat Kedah mahu kestabilan politik

BACA: Perubahan kerajaan negeri Kedah wajar, tamatkan spekulasi - Penganalisis politik

BACA: Muhammad Sanusi dijangka MB Kedah baharu?

BACA: 19 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Majlis menghadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah itu.

Difahamkan, ADUN Pakatan Harapan dijadual menghadap Sultan Sallehuddin pada sebelah petang.

Muhammad Sanusi meninggalkan Wisma Darul Aman pagi ini. - Astro AWANI

Selasa lepas, selepas Azman dan Robert mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas serta menyatakan sokongan kepada PN, Muhammad Sanusi mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Katanya, empat ADUN Bersatu juga telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz, yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN.

Pakatan Harapan menerajui kerajaan negeri dengan 19 kerusi terdiri daripada PKR (tujuh), Bersatu (enam), Amanah (empat) dan DAP (dua).

Pas mempunyai 15 kerusi manakala UMNO dua kerusi.