Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan terlibat dalam pemalsuan dokumen melibatkan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak masuk akal.

Nurul Izzah berkata, mustahil untuk bapanya terlibat dalam perkara itu untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana Anwar berada dalam tahanan polis sejak awal bulan Februari.

Penerbitan Sarawak Report yang dikatakan faktanya dipalsukan tentang maklumat 1MDB dikeluarkan pada 2 Julai ketika Anwar masih berada di penjara.

"Ia adalah tidak munasabah. Bagaimana dia (Anwar) boleh memalsukan dokumen apabila dia berada di penjara sejak Februari?" kata Nurul Izzah kepada The Star ketika mengulas dakwaan bekas editor akhbar Sarawak Lestor Melanyi.

Beliau juga berkata laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1MDB harus segera dibentangkan untuk mengetahui perkara sebenar.

Pada Rabu, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan penglibatan beberapa pemimpin pembangkang dalam sebuah video pengakuan seorang individu yang terlibat secara langsung dalam memalsukan fakta di dalam laporan portal Sarawak Report.

"Pengadu tersebut mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa wujud niat jahat oleh pihak-pihak berkepentingan untuk melunaskan misi yang digelar 'Mission to criminalize Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB'," Abdul Rahman berkata dalam sidang media, Rabu.

"Jika niat ini benar, ianya adalah satu perbuatan dahsyat dan bertujuan untuk menjatuhkan nama baik dan maruah kerajaan dalam mentadbir urus negara, di samping bertujuan untuk memesongkan rakyat supaya membenci kerajaan," katanya lagi.