Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan bahawa baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion telah ditebus dengan aset dan bukannya wang tunai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, baki pelaburan tersebut ditebus dalam bentuk aset mata wang US$ di BSI Bank Limited Singapore (BSI) Singapura.

“1MDB telah menjelaskan bahawa baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang USD di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti USD syarikat.

“Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset tersebut," kata Najib yang juga Menteri Kewangan menerusi sebuah jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, katanya jawapan tersebut merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum bertarikh 10 Mac 2015, bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam dalam bentuk wang tunai.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menanyakan sama ada 1MDB masih mempunyai USD$1.1 bilion secara tunai dalam akaun BSI, yang merupakan tebusan pelaburan Pulau Cayman.

Sebelum ini, Najib telah memberitahu bahawa baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority tersebut telah ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang US Dolar di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.