Kontroversi dan skandal kewangan yang timbul mutakhir ini termasuk isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menuntut satu penjelasan berasakan fakta demi mententeramkan keadaan, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan nama Ku Li berkata rakyat berharap agar ada individu yang berani tampil untuk memberi penjelesan berasaskan fakta.

"Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini.

"Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan.

"Mereka hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral dalam usaha membantu mengatasi masalah tersebut.

"Sekiranya inilah keadaannya, sudah tentu kita tidak perlu mengadakan soal siasat dan penyiasatan. Jikalau masalah serta fakta berkaitan diketahui, kenapa tidak berterus terang?," soal Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan yang dimuatkan di laman Facebook beliau malam tadi.

Tengku Razaleigh perkara tersebut perlu dilakukan kerana ia membolehkan negara membaiki dan memulih imej serta maruah yang punah di mata dunia.

"Kita perlu melaksanakan perkara ini dalam usaha mengembalikan keyakinan yang dibina dengan begitu cermat oleh pengasas negara kita," tulis beliau.

Bekas Presiden parti Semangat 46 itu juga menyarankan supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan kerana kesan negatifnya ke atas rakyat jelata.

Untuk menggantikan GST, Tengku Razaleigh mencadangkan agar satu sistem cukai yang tidak membebankan rakyat diperkenalkan.

Bekas Menteri Kewangan itu membuat saranan tersebut kerana kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

"Memandangkan kita tenat dilanda krisis, amatlah munasabah GST ditangguhkan, oleh kerana kesan negatifnya ke atas rakyat jelata.

"Demi meringankan kesan kekurangan pendapatan akibat penangguhan ini kita bolehlah memperkenalkan percukaian lain yang tidak membebankan rakyat.

"Kita perlu mengatasi kesusahan rakyat jelata dalam usaha mereka menyambung hidup seharian di samping mencari penyelesaian terhadap kos sara hidup yang kian melambung," tulis beliau.

Ujar beliau, rakyat gelisah tentang mutu kehidupan yang semakin merosot akibat kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Tengku Razaleigh berkata, antara perkara yang menjadi kebimbangan rakyat ialah tidak ada jaringan keselamatan kewangan untuk menjamin keselesaan ekonomi para pesara.

"Sesungguhnya mereka berhak menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Salah satu masalah sosio-ekonomi yang merunsingkan rakyat ialah tiadanya jaringan keselamatan kewangan untuk menjamin keselesaan ekonomi para pesara," katanya.

Tengku Razaleigh juga menyarankan agar semua pihak bekerjasama demi untuk membaik pulih sistem negara.