Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hairan kerana beberapa laporan polis yang dibuatnya sebelum ini terutama melibatkan isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Tegasnya, pihak berkuasa seolah-olah tidak mengendahkan semua laporannya walaupun isu itu disifatkan sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat negara ini.

"Kenapa buat acuh tidak acuh laporan polis saya? Apa status laporan polis yang telah saya buat untuk menyiasat 1MDB serta semua individu yang berada di sebaliknya?

"Saya sentiasa berdoa polis segera melakukan siasatan terhadap semua laporan yang dibuat. Isu ini bukan sahaja diperkatakan di dalam negara malah akhbar The New York Times serta saluran media sosial turut hangat dengan isu 1MDB.

"Saya membawa harapan rakyat negara ini yang mahu laporan polis itu diberi perhatian. Kita mahu polis menyiasat laporan itu secara telus dan berintegriti tanpa sebarang bentuk 'cover up' untuk membuktikan keluhuran undang-undang di negara kita masih utuh serta terpelihara," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini pada Sabtu.

BACA: 1MDB: 'Saya buat laporan polis kerana Tun M dedah kesalahan jenayah' - Khairuddin

Kenapa buat acuh tak acuh laporan polis saya? Apa status laporan polis yang telah saya buat untuk menyiasat 1MDB serta semua individu yang berada di sebaliknya?

Sebelum ini, Khairuddin membuat laporan polis ke atas beberapa pemimpin tertinggi negara dan ahli lembaga pengarah 1MDB kerana menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan.

Tegasnya, perbuatan mereka turut dikatakan melanggar peruntukan undang-undang jenayah di bawah seksyen 218 Kanun Keseksaan.

BACA: Pemimpin UMNO Pulau Pinang buat laporan polis terhadap 1MDB

Pada Disember lepas, Khairuddin menggemparkan negara dengan laporan polis terhadap 1MDB dan tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

Pada masa itu katanya, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan 1MDB sendiri.

BACA: Bohong isu wang 1MDB di Bank Singapura satu kesalahan jenayah - Dr Mahathir

Dalam pada itu katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat terhadap isu 1MDB.

BACA: 'Saman Tun M kalau betul dia fitnah Najib' - Khairuddin

Dengan suara sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin mahu Najib sedar situasi yang berlaku di dalam UMNO terutama di peringkat akar umbi.

"Kita hendak tengok apa yang bakal terjadi pada Barisan Nasional (BN) kelak. Saya selaku ahli UMNO di peringkat akar umbi boleh nampak imej parti dan BN amat teruk kini.

"Rakyat khususnya Gen Y sedang menolak kepimpinan Najib yang dibelenggu berbagai skandal kewangan selain ditekan kos sara hidup yang begitu membebankan," jelasnya.

BACA: #Nothing2Hide: Tun M hanya hadir untuk 'hentam' Najib - Salleh

Katanya lagi, Dr Mahathir disifatkan terlalu risau dengan situasi negara kini selain memberitahu ramai rakyat mengadu kepada bekas perdana menteri itu mengenai isu semasa.

"Pada hemat saya Dr Mahathir amat risau kerana rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat datang berjumpanya secara berterusan untuk mengadu hal mengenai kepimpinan Najib pada hari ini.

"Rakyat sayangkan UMNO tetapi pada hari ini masyarakat akar umbi khususnya Gen Y sedang menolak dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Najib.

"Ia terbukti apabila Najib sendiri memberitahu ada orang dalam yang membocorkan berbagai maklumat termasuk isu kenaikan kadar tol kepada rakyat. Apa maknanya itu?" jelasnya.

BACA: Kenaikan tol masih belum dimuktamad - Najib

Dalam pada itu Khairuddin berharap Dr Mahathir akan terus mendedahkan pelbagai isu mengenai Najib selain berharap pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin itu dapat diadakan segera.

"Saya ingin sarankan kepada Najib agar jangan berani serang Dr Mahathir hanya dari luar. Tidak salah bagi Najib untuk bersemuka dengan Dr Mahathir bagi mengupas secara profesional mengenai isu-isu semasa yang menjadikan keseluruhan rakyat gelisah.

"Rakyat mahu melihat sendiri penerangan daripada Najib serta Dr Mahathir. Jika takut hendak anjur forum terbuka atas alasan keselamatan awam, minta Menteri Penerangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek jemput hanya Najib dan Dr Mahathir ke studio RTM.

"Kemudian anjurkan siaran bicara di antara kedua tokoh ini secara langsung untuk tatapan rakyat di seluruh negara," ujarnya.