Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 17 Disember 2015.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata pihaknya akan memanggil Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberikan keterangan kepada PAC selepas mendengar Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

"PAC dimaklumkan bahawa Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB akan siap dan diserahkan kepada PAC untuk dibentangkan dijangka pada 17 Disember 2015.

"Berikutan ini, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin akan memberikan keterangan kepada PAC selepas PAC mendengar Laporan Akhir Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB," memetik kenyataan media bertulis yang dikeluarkan Hasan di sini hari ini.

Justeru, katanya laporan lengkap untuk 1MDB dijangka akan siap sepenuhnya oleh PAC pada Mac 2016.

Kerjasama memuaskan

Mengulas berkenaan prosiding hari ini, Hasan berkata bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah memberi kerjasama yang memuaskan.

"Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ingin mengumumkan prosiding siasatan terhadap 1MDB telah disambung dengan penerangan selama dua hari oleh bekas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"Datuk Shahrol telah memberikan kerjasama yang memuaskan dan menjawab segala soalan yang ditujukan kepadanya.

"Begitu juga semua ahli-ahli PAC telah berkesempatan bertanya soalan yang begitu memuaskan daripada segi semua aspek mengenai Pengurusan Kawalan Tadbir Urus 1MDB," katanya.

Tambahnya, sesi soal jawab yang memuaskan tersebut susulan daripada keterangan yang PAC perolehi daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Datuk Dr Rahamat Bivi Abdullah.

Dalam perkembangan berbeza, PAC turut melihat wujud keperluan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit semula empat loji insinerator di Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan Pulau Langkawi, walaupun PAC sudah membentangkan Laporan berhubung Pengurusan Loji Insinerator pada November 2014.

"Ini kerana belum ada penyelesaian muktamad daripada kementerian dan ianya penting daripada segi alam sekitar dan juga industri pelancongan negara dengan semua loji insinerator berkenaan terletak dalam kawasan pelancongan yang terkenal," katanya.