Malaysia setakat ini telah menerima sejumlah US$620 juta (US$1 = RM4.32) dari Amerika Syarikat (AS) sejak usaha mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimulakan pada Jun 2018, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Dana itu termasuk US$57 juta hasil penyelesaian bersama Red Granite Pictures (dikreditkan pada Mac 2019), US$137 juta hasil jualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane (dikreditkan pada April 2019) dan US$126 juta hasil jualan kehakiman kapal layar mewah, Equanimity oleh Mahkamah Admiralti Malaysia (hasil dikreditkan dalam akaun amanah pada Disember 2019)

Menurut Tengku Zafrul, tranche terakhir membabitkan pemulangan dana sebanyak US$300 juta yang terdiri daripada wang atau aset berkaitan 1MDB yang telah diperoleh semula, dilupus hak oleh, atau diserah balik secara sukarela kepada Jabatan Keadilan AS (DOJ).

"Usaha mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB masih dijalankan dan Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memberi kerjasama penuh kepada semua entiti siasatan domestik dan luar bagi memastikan hasil positif semua usaha ini di masa depan," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.


Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan AS dan DOJ yang membabitkan usaha mendapatkan semula aset-aset milik Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, khususnya Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir yang sentiasa berhubung rapat dengan MOF dan Jabatan Peguam Negara sejak beberapa minggu lepas.

“Semangat kolaboratif yang wujud dalam proses rundingan kami memastikan segala rintangan dapat diatasi dalam memudahkan lagi usaha pemulangan wang berkenaan kepada rakyat Malaysia.

"Kerajaan juga ingin mengiktiraf sokongan oleh rakan-rakan sejawat di pelbagai negara yang membantu Malaysia mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB ini,” kata beliau

-- BERNAMA