1MDB pernah mengemukakan permohonan mendapatkan geran bernilai RM3 bilion kepada kerajaan bagi menubuhkan SRC International.

Datuk Kamariah Noruddin, 61, selaku saksi ke-28 pada perbicaraan kes SRC International melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan permohonan itu dibuat 1MDB kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri yang kemudian diajukan kepada EPU.

Beliau yang merupakan Pengarah Seksyen Tenaga di EPU pada ketika itu memberitahu mahkamah bahawa ia permohonan yang sukar diproses.

Katanya lagi, bidang tugas beliau ialah menyediakan perancangan pembangunan untuk sektor tenaga, formulasi dasar sektor tenaga dan penyediaan peruntukan pembangunan sektor tenaga.

Melalui surat bertarikh 24 Ogos 2010 itu, ia menjelaskan SRC sebagai syarikat keperluan khas yang ditubuhkan antara lain untuk mengekalkan sumber strategik, logistik dan pengeluaran negara.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menambah bahawa surat permohonan itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan dialamatkan kepada Najib.

Saksi itu juga mendapat arahan bekas Ketua Pengarah EPU, Datuk Noriah Ahmad untuk meneliti permohonan mendapatkan geran RM3 bilion berkenaan.

Datuk Noriah juga menerima arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, agar menimbang permohonan 1MDB.

Permohonan geran RM3 bilion itu bagaimanapun ditolak dan hanya RM20 juta diluluskan untuk dana permulaan SRC.

Antaranya, ia menyokong cadangan 1MDB mengendalikan projek arang batu dan uranium kerana hal berkaitan gas dan minyak sudah ditangani Petronas.

Malah, pada ketika itu, negara bergantung kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kecenderungan negara terhadap industri tenaga.

Projek industri besi dan aluminium pula disarankan dikekalkan kepada pihak swasta.