Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menghasut orang ramai untuk terbabit dalam demonstrasi jalanan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau percaya ada yang pihak sengaja mengambil kesempatan dengan laporan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau demonstrasi jalanan yang cuba dirancang beberapa pihak dengan mengambil kesempatan atas beberapa isu berbangkit.

“Ada pihak cuba menghasut pihak orang ramai supaya turun ke jalan raya dan sebagainya. Saya ingin memberi ingatan bahawa jika mereka cuba untuk menggugat ketenteraman awam dan demokrasi berpalimen negara kita, polis tidak akan teragak-agak ambil tindakan.

“Saya ingin mengingatkan meraka, apa jua tindakan yang cuba diambil mestilah mengikut undang-undang negara,” kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, pada Jumaat malam.