Program penerangan mengenai isu yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diadakan di Kelantan bagi memperbetulkan persepsi rakyat terhadap kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program penerangan tersebut akan diberi kepada semua termasuk penjawat awam, badan bukan kerajaan, sektor swasta, parti politik dan penduduk di kawasan luar bandar.

Penerangan tersebut akan dibuat dalam bentuk yang mudah difahami rakyat, katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Semarak Aidilfitri Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, di sini, hari ini.

"Program penerangan ini untuk memperbetulkan keadaan kerana banyak perkara yang tidak benar dihebahkan kepada orang ramai terutamanya melalui media sosial," katanya.

Mustapa ditanya mengenai program penerangan kepada rakyat berhubung langkah Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.