1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyambut baik saranan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw supaya pihak yang melemparkan tuduhan terhadap anggota jawatankuasa itu, mencari bukti kukuh terlebih dahulu.

1MDB dalam kenyataannya menyifatkan, nasihat mendalam Ahli Parlimen Kepong itu sebagai tepat pada waktunya dan bijak.

Dr Tan dalam kenyataannya pada Selasa menasihati pihak atau individu terlibat yang meminta anggota PAC disiasat, berhubung dakwaan membocorkan maklumat siasatan 1MDB, supaya mendapatkan bukti kukuh sehingga boleh membuktikan kesalahan pihak yang dituduh.

Kenyataan Dr Tan merujuk kepada dakwaan Exco Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah yang dilaporkan menuduh ahli PAC membocorkan maklumat sulit mengenai 1MDB.

1MDB juga percaya, Dr Tan akan memberi nasihat sama kepada Ahli Parlimen DAP Tony Pua atas tuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB pagi ini.

Pua dilaporkan mempersoal adakah bayaran AS$1 bilion syarikat pelaburan strategik negara itu kepada Abu Dhabi palsu.

"Tuntutan YB Tony Pua adalah tuduhan kitaran semula.

"Beliau (Pua) tidak mempunyai bukti dan bahan sensasi yang mahu dibangkitkan, maka beliau mengulangi soalan yang sama," ujar 1MDB.

1MDB berkata, apabila jawapan dan fakta dikemukakan, ternyata tuduhan Pua tidak benar.

Bagaimanapun, jelas 1MDB, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tidak mempedulikan fakta sebaliknya terus mencari publisiti dengan menyebarkan spekulasi.

1MDB juga percaya, Dr Tan akan melakukan perkara yang benar dalam mencari kebenaran yang telus berhubung kebocoran maklumat sulit PAC kepada media antarabangsa.