Semua pihak diminta tidak mewujudkan 'perbicaraan' di media, melakukan spekulasi mahupun membuat sebarang kesimpulan sebelum pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyaluran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri mengumumkan hasil siasatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata setakat ini dakwaan yang timbul adalah berdasarkan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report dan tindakan membuat kesimpulan atau menghakimi sebelum selesai akan mewujudkan perbicaraan di media.

"Kalau di mahkamah dokumen yang didedahkan di media sosial tidak boleh diterima.

"Pasukan petugas khas telah pun dibentuk dan mereka sedang melakukan siasatan, lebih baik semua pihak menunggu keputusan siasatan tersebut. Hasil siasatan pasukan petugas tersebut boleh kita anggap sebagai sumber yang boleh dipercayai," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kementeriannya di sini malam tadi.

Ismail Sabri berkata demikian apabila diminta mengulas laporan beberapa portal hari ini berhubung penyiaran dokumen oleh Wall Street Journal yang didakwa merupakan penyaluran dana ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Minggu lalu sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia memulakan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun Perdana Menteri.

Tambah Ismail Sabri, selagi siasatan (oleh pasukan petugas khas) belum selesai dan hasil belum diumumkan semua pihak masih belum boleh menerima apa-apa laporan media sebagai maklumat yang sahih dan sah.

"Saya pun tidak pasti sama ada akaun yang didedahkan ialah akaun peribadi Perdana Menteri atau siapa punya akaun sebab yang disiasat bukan Perdana Menteri. Yang disiasat ialah syarikat yang dituduh menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"Semua pihak perlu berlaku adil. Bila buat spekulasi dan kesimpulan mungkin akan mengganggu siasatan. Jadi beri peluang kepada pasukan petugas khas menyiasat. Itu yang terbaik," katanya lagi.