Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE) akan merangka cadangan bagi mendapatkan sumbangan dana kerajaan dalam usaha mempertingkatkan aspek bimbingan usahawan di kawasan pedalaman.

Presidennya, Datuk S. Gopinath berkata selama ini semua latihan dan seminar bagi ahli 1MINE diadakan di ibu pejabat di sini, berikutan kekurangan sumber.

"Kami perlukan pembiayaan atau dana sebanyak RM80,000 setiap tahun bagi menampung bayaran sewa dan utiliti, pengangkutan dan kos penginapan apabila perlu melakukan sebarang perjalanan.

"Kami adalah sebuah badan yang tidak menjana sebarang keuntungan dan akan telus dengan dana (yang diterima) serta perbelanjaan berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas seminar Kemudahan dan Program Pembiayaan di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020, di sini, hari ini.

Seminar separuh hari yang dihadiri oleh kira-kira 50 usahawan itu adalah anjuran 1MINE dengan kerjasama PlaTCOM Ventures Sdn Bhd yang juga platform pengkomersilan teknologi negara Malaysia.

1MINE yang beroperasi sejak tujuh tahun lepas, mempunyai seramai 200 ahli dan menyasarkan bilangan ahlinya dapat mencecah 250 orang menjelang akhir 2018.

Mengulas selanjutnya, Gopinath berkata ahli serta usahawan akan mendapat faedah menerusi penganjuran latihan dan seminar bulanan, bimbingan menjayakan perniagaan masing-masing selain memanfaatkan peluang daripada jaringan yang wujud.

"Pada acara hari ini misalnya, ahli 1MINE akan mendengar taklimat oleh PlaTCOM yang juga anak syarikat milik penuh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenai cara mengubah idea kreatif mereka kepada produk dan perkhidmatan yang berjaya selain aspek kemudahan proses pengkormersialan," katanya.

-- BERNAMA