Sejumlah 2,693 pegawai dan anggota polis serta kakitangan awam akan bertugas pada hari penamaan calon di seluruh Kuala Lumpur pada Sabtu ini bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, 361 terdiri daripada pegawai, 2,303 (anggota) dan 29 (kakitangan awam).

Menurutnya, kesemua petugas itu akan mengawal di enam daerah iaitu Sentul, Wangsa Maju, Brickfields, Dang Wangi, Cheras dan Putrajaya berdasarkan 12 parlimen yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita lihat ada beberapa tempat la yang kita rasa menjadi lokasi panas. Bagaimanapun, saya yakin dengan penugasan anggota polis, kita dapat mengawal keadaan.

"Polis Kuala Lumpur mahu memastikan semua tempat selamat. Saya nasihatkan pemimpin dan penyokong mematuhi arahan pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kadet Polis Ke-48 kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.