Tutup

2 lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dalam saluran air rumah pam

2 lelaki dikhuatiri lemas terjatuh dalam saluran air rumah pam
Operasi mencari kedua-dua mangsa diteruskan mengunakan tali dan cangkuk besi. -Foto JBPM
SIK: Dua lelaki dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam saluran air rumah pam berhampiran Balai Polis Sik, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.40 malam berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Faizul Izwan Hang Tuah bersama lapan anggota tiba di lokasi pada jam 10.48 malam.

Laporan awal mendapati dua orang mangsa dipercayai datang untuk memancing dan dipercayai terjatuh ke dalam saluran air di rumah pam tersebut.
Identiti mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Mohamad Naim Ahmad, 28, dan Farez Iskandar, 15, tahun.

Mohamadul Ehsan berkata keadaan arus yang deras di rumah pam itu dikhuatiri mengancam nyawa penyelamat, tindakan pencarian dilakukan di tebing dengan mengunakan tali dan cangkuk besi.

Sehingga pagi ini, operasi mencari kedua-dua mangsa diteruskan.