Dua pensyarah terkemuka negara, Dr Azmi Sharom dan Dr Faisal S. Hazis memulakan tugas bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa.

Ini menjadikan SPR kini mempunyai enam ahli termasuk pengerusinya Azhar Azizan Harun.

Menurut Azhar, Azmi yang merupakan pensyarah undang-undang Universiti Malaya akan bertugas sebagai timbalannya.

Manakala Faisal yang merupakan pensyarah Kajian Malaysia dan Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia adalah salah seorang daripada lima ahli suruhanjaya itu.

“Saya ingin memperkenalkan bahawa hari ini ada ahli baharu SPR. Timbalan saya Prof Azmi Sharom yang melaporkan diri hari ini dan Dr Faisal Hazis yang juga lapor diri hari ini.

“Seorang lagi wakil dari Sabah belum dilantik lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih di Kem Batallion 4 PGA di sini pada Selasa.

Tiga ahli lain yang telah memulakan tugas mereka pada 15 Feb lalu adalah Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Zoe Randhawa dan Datuk Chin Phaik Yoong.

Sementara itu, Azhar memaklumkan bahawa jumlah keluar mengundi bagi hari undi awal di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih setakat jam 11 pagi adalah sebanyak 45 peratus.

Setakat ini, 23 laporan polis dibuat pelbagai pihak antaranya mengenai kempen tanpa permit, selain laporan tentang pembaikan rumah dan pemberian hamper kepada pengundi di Semenyih.