Dua rakan terbunuh apabila kereta jenis Toyota Hilux yang mereka naiki terbabas lalu merempuh tempat menunggu bas dalam kejadian di KM15 Jalan Jemaluang-Mersing, dekat Mersing, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing DSP Cyril Edward Nuing berkata kedua-dua mereka adalah pemandu kereta itu Salma @ Noraini Adam, 37, dan penumpang belakang, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim, 31.

Tunku Alang Reza yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing manakala Salma yang mengalami kecederaan sama meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan di hospital berkenaan.

Beliau berkata dua lagi rakan wanita mangsa yang turut menaiki kenderaan sama, masing-masing berusia 33 dan 44 tahun pula cedera ringan dan masih dirawat di hospital sama.

Kemalangan terbabit berlaku pada 6.05 petang ketika kenderaan itu sedang menghala ke Johor Bahru dari Mersing.

Setibanya di tempat kejadian, kenderaan itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan dan merempuh tempat menunggu bas Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing.

"Waris keluarga telah dimaklumkan mengenai kemalangan dan kes masih disiasat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-- BERNAMA