Polis menahan seramai 20 individu termasuk pemandu dan pembantu bas disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran di Jalan Utama Kampung Lormalong, dekat sini, jam 2.10 petang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kunak Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika sepasukan polis menjalankan tugas Op Sea Hunter, mereka menahan sebuah bas dipercayai dari Sandakan menuju ke Tawau.

"Hasil pemeriksaan kami menangkap 18 penumpang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah "Turut ditahan pemandu dan pembantu pemandu terbabit manakala bas dirampas untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati 18 penumpang terdiri daripada lapan lelaki, sembilan perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan.

"Setiap seorang dikenakan bayaran tambang sebanyak RM1,200 ke atas perjalanan dari Sandakan ke Tawau dan dibayar sebaik tiba di destinasi.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kunak untuk tindakan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

"Setakat ini, dalang yang mengurus perkara ini belum dapat dikenalpasti namun soal siaaat masih diteruskan," katanya.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).