Sebanyak 20 keluarga dari Kampung Sinakut, Tungku, di sini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan bekalan asas makanan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Penduduk di kawasan kampung tersebut sukar untuk mendapatkan bekalan makanan memandangkan kedudukan kampung di kawasan pedalaman dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan pesisir serta bergantung kepada pendapatan harian.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berharap sumbangan ini dapat membantu penduduk kampung yang terjejas ketika tempoh PKP dikuatkuasakan.

"Dengan sumbangan yang diberikan ini dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang erat diantara Maritim Malaysia dan komuniti di Daerah Kecil Tungku.

"Sumbangan makanan seperti beras, minyak masak, tepung dan keperluan makanan yang lain ini diagihkan kepada 20 keluarga di kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Sumbangan disampaikan Ketua Pos Maritim Felda Sahabat, Leftenan Madya Maritim Neelamegand Ramachandran mewakili Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin dan diiringi oleh beberapa pegawai lain-lain pangkat serta wakil kampung imam rawatib, Mumin Ab Lala.

Mengulas lanjut, Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia tidak lupa akan nasib mereka yang sukar mendapatkan bekalan makanan terutamanya dalam tempoh PKP ini.

Sumbangan ini turut dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan golongan berpendapatan rendah pada bulan ramadhan ini," jelasnya.