Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan 20 projek infrastruktur baharu bernilai RM5.26 bilion tahun ini, yang akan membantu merangsang ekonomi negara.

Menterinya Baru Bian berkata ini termasuk projek-projek mega yang telah dirancang sebelum ini seperti 'Central Spine Road' (CSR) di Semenanjung, Lebuh Raya Pan Borneo, selain jalan penghubung antara Sarawak dan Sabah.

"Saya percaya projek-projek infrastruktur di seluruh negara ini akan merangsang ekonomi negara dengan berkesan... kita juga akan cuba merundingkan semula beberapa projek yang telah dirancang tetapi belum dimulakan.

"Kita perlu berhati-hati kerana sekali kita sudah menandatangani kontrak, kita tidak boleh ubah kontrak itu," katanya kepada Bernama selepas sesi rakaman program Property Hot Seat Bernama News Channel (BNC) pada Khamis.

Baru berkata jalan yang menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar terutama di Sabah dan Sarawak itu akan membantu pertumbuhan industri pelancongan dan membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.

"Sebagai contoh di Sarawak kita ada gunung-gunung seperti Gunung Murud dan Gunung Mulu yang boleh menarik kedatangan lebih ramai pelancong. Jika ia boleh dikunjungi dengan kemudahan infrastruktur yang baik, sudah pasti ia akan menarik lebih ramai pelancong," kata beliau.

-- BERNAMA