Sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram dan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) asing dibongkar dalam satu operasi polis malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 9.45 malam itu, sejumlah 21 GRO warga Vietnam dan Thailand diberkas di sebuah pusat hiburan dekat Pusat Bandar Puchong di sini.

Operasi dikendalikan pasukan anti maksiat Bahagian D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, diketuai ASP Rozam Effandy.

Ketika digempur, lebih 30 pengunjung memenuhi premis dan semakan mendapati, pusat itu tidak memiliki lesen dan menggajikan pekerja asing tanpa permit.

Peralatan audio dan sejumlah wang tunai turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Puchong untuk tindakan lanjut.