Seramai 213 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu seramai 22 individu telah direman manakala 18 individu dijamin sementara 173 individu lain dikenakan kompaun.

Angka itu juga, jelas Ismail, menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar serta tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Dari jumlah yang ditahan itu, seramai 14 individu terlibat dalam aktiviti di pub dan kelab malam manakala 199 individu terlibat dalam aktiviti lain melanggar SOP.

"Task force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan dan mengambil tindakan bukan sahaja pada pemilik premis malah (pada) orang awam (yang) tidak mematuhi SOP PKPP.

"Kita sangat berbesar hati jika rakyat terus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa melaporkan tindakan pihak-pihak (yang) melanggar SOP," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan di sini pada Khamis.

Sehingga kini pasukan khas telah memeriksa sebanyak 4,138 pasar raya, 5,599 restoran serta 1,450 penjaja, 1,198 kilang dan 2,373 pasar awam/tani di seluruh negara.

Turut diperiksa 3,551 rumah ibadah serta 1,367 tempat riadah.