Susulan pendedahan Astro AWANI mengenai keluhan orang ramai ekoran kenaikan harga ayam di Kedah,

seramai 23 peniaga ayam di negeri ini telah diberi notis kerana menaikkan harga ayam sehingga mencecah paras tinggi.


Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Omar Ismail, kesemua peniaga itu diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

Katanya, notis itu diberikan ketika pemeriksaan harga ayam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.

"Kita keluarkan notis kepada peruncit, pemborong dan peladang... kita dapat maklumat kita kena analisa sebab maklumat daripada unit anti pencacutan negeri Kedah dan kena analisa... jika ada kesalahan kita teruskan ikut (proses) undang undang," kata beliau.

BACA: Harga ayam naik di Alor Setar, pembekal dakwa tiada bekalan

BACA: Harga ayam di Kedah dijangka naik lagi menjelang Aidilfitri

Bagaimanapun, jelas Omar, pihaknya masih menjalankan siasatan berikutan dakwaan peniaga yang memaklumkan harga terpaksa dinaikkan disebabkan pemborong meletakkan harga yang tinggi kepada mereka.

Sebelum itu, Omar melakukan pemeriksaan 10 barang kawalan sempena musim perayaan di Pasar Besar Alor Setar, pada Rabu.



Omar berkata, pemeriksaan yang bermula hari ini sehingga 3 Jun ini adalah untuk memastikan bekalan makanan mencukupi selain memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan hari ini mendapati 100 peratus peniaga mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual mereka.

Malah hasil tinjauan hari ini mendapati harga ayam dijual di bawah paras harga kawalan iaitu RM7 sekilo berbanding harga kawalan iaitu RM7.50 sekilo.

Omar berkata, sepanjang Januari hingga semalam, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan terhadap 16,932 peruncit, pemborong dan pengilang di negeri ini.

Daripada jumlah itu nilai rampasan sebanyak RM64,580 manakala jumlah kompaun adalah sebanyak RM49,750 membabitkan 324 kes pelbagai kesalahan.