SEBANYAK 23 buah sekolah di tujuh daerah di Pahang masih ditutup akibat banjir, yang membabitkan seramai 5,002 pelajar dan 490 guru.

Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata daerah Pekan mencatatkan jumlah sekolah paling banyak yang ditutup iaitu tujuh buah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh, SK Pasir Panjang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai.

"Selain itu, SK Sinar Mutiara, SK Temai, SK Permatang dan SK Pulau Manis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata di Kuantan pula, sebanyak enam sekolah ditutup membabitkan SK Bukit Kuin, SJK(T) Ladang Kuala Reman, SMK Pandan, SMK Tanah Putih, SK Cherating dan SMK Gudang Rasau.

Di Lipis, tiga sekolah ditutup iaitu SJK(C ) Mela, SK Jeram Landak dan SK Kuala Kenong manakala tiga sekolah di Maran turut ditutup iaitu SK Kertau, SK Pesagi dan SK Kuala Wau.

"Di daerah Jerantut pula, dua sekolah ditutup iaitu SK Gintong dan SK Bukit Nikmat dan masing-masing sebuah sekolah di Bera dan Temerloh iaitu SK Kuala Teriang di Bera dan SK Paya Luas di Temerloh," katanya.

-- BERNAMA