Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 238 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-48.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 42 individu telah direman manakala 196 individu pula dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pub dan kelab malam (9 individu) dan aktiviti yang tidak mengikuti SOP (229 individu)," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sementara itu, mengenai kawalan sempadan negara bermula 1 Mei sehingga 28 Julai, pasukan keselamatan jelasnya telah berjaya menahan 2,491 Pendatang Tanpa Izin (PATI), 596 tekong serta 144 penyeludup.

Manakala 96 buah bot dan 257 kenderaan turut dirampas.

"Petugas Ops Benteng juga berjaya mengusir 257 PATI dan 9 tekong serta 37 bot yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara," kata Menteri Kanan Pertahanan itu.

Mengenai kuarantin wajib pula, PDRM telah melakukan 1,755 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Pemeriksaan yang disertai petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bagi memastikan setiap individu menjalani kuarantin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.