Sembilan kes baru difteria telah dilaporkan dari 18 sehingga 21 Julai 2016 menjadikan kumulatif kes difteria kepada 24 kes termasuk lima kematian.

Kedah merekodkan bilangan kes terbanyak dengan lapan kes dan satu kematian, diikuti Negeri Sembilan dengan tujuh kes dan tiada kematian, Sabah empat kes dengan tiga kematian, Melaka tiga kes dengan satu kematian dan Pulau Pinang pula mencatat dua kes dengan tiada kematian.

Mengikut kenyataan akhbar status terkin kes difteria di Malaysia dari Ketua Pengarah Kesihatan Negara, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sembilan pesakit baru yang dijangkiti difteria berada dalam lingkungan umur lapan sehingga 50 tahun.

BACA: Kementerian Kesihatan pertimbang saranan imunisasi baharu

BACA: Peningkatan mendadak pengambilan vaksin susulan difteria - KP Kesihatan

INFOGRAFIK: Kenali bahaya penyakit difteria

"Enam daripadanya telah mendapat imunisasi difteria lengkap. Empat dari enam kes baru dari Negeri Sembilan adalah anak-anak kepada kes wanita dari Rembau dan dua kes lagi merupakan kakitangan Klinik Kesihatan Rembau yang menjadi kontak kepada kes pertama ini," katanya.

Klinik Kesihatan Rembau telah didapati menjadi lokasi kontak pesakit dengan jangkitan difteria. Manakala kes dari Kedah dan Pulau Pinang dianggap kes terpencil atau 'sporadic' dan tiada kaitan dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

Kesemua kes dilaporkan dalam keadaan stabil dan pesakit telah diasing dan diberikan rawatan antibiotik sewajarnya.

Manakala status terkini kes yang disyaki difteria yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia yang dilaporkan pada 17 Julai 2016 dibuktikan negatif setelah ujian makmal dibuat.

Mengikut maklumat terkini, semua kes difteria yang membawa maut melibatkan pesakit yang tidak pernah mendapat pelalian atau pelalian yang tidak lengkap, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, ibu bapa diseru agar segera membawa anak yang belum menerima pelalian atau belum lengkap ke klinik berhampiran untuk mendapat vaksin lengkap.

Beliau di dalam kenyataannya berkata walaupun difteria masih boleh menjangkiti golongan dewasa yang telah divaksinasi, gejala yang dialami mereka adalah ringan dan risiko komplikasi akibat toksin adalah rendah.

Noor Hisham juga menyeru semua kakitangan kesihatan dan perubatan yang merawat pesakit agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk dengan memakai alat perlindungan diri seperti topeng mulut dan hidung, dan mengamalkan amalan membasuh tangan selepas merawat pesakit.

Beliau juga menyarankan agar ibu bapa dengan anak-anak di bawah umur tujuh tahun pula diseru untuk mendapatkan imunisasi lima-serangkai yang lengkap bagi mengelakkan jangkitan.