Seramai 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi, malam Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata pihak berkuasa mendapat laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam.

"Berdasarkan maklumat polis, seorang lelaki Rohingya berusia 27 tahun ditemui di daratan Langkawi. Lelaki itu mendakwa dia bersama 24 orang yang lain yang menaiki sebuah bot terpaksa terjun ke laut dan hanya dia yang selamat berenang ke daratan.

"Dia ditahan polis untuk siasatan lanjut buat masa ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Katanya, Maritime Rescue Sub-Coordinator (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak sebuah aset Bot PELINDUNG 2 ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, selain itu operasi SAR turut melibatkan dua aset laut dan sebuah aset udara yang merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Pulau Langkawi.

Jelas Mohd Zawawi, pihaknya juga telah menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain dan komuniti nelayan setempat.

Malah katanya, pihak berkuasa Thailand turut dimaklumkan melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian berkenaan.

Sementara itu, sumber memaklumkan, lelaki Rohingya yang ditemui itu mendakwa, dia bersama 24 yang lain dipaksa terjun oleh tekong bot dinaiki, namun pihak berkuasa masih menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan.