Seramai 10 remaja bawah umur antara 246 individu ditahan kerana ingkar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, meskipun premis itu mempunyai lesen perniagaan yang sah namun pengunjung berada dalam keadaan sesak tanpa penjarakan fizikal.

"SOP dia orang tak ikut. kita tengok dalam tadi (pusat hiburan) seolah-olah macam tak ada lagi PKPP, sudah bebas… saya pun sudah bagi arahan kepada semua OCP (Ketua Polis Daerah).

"Kami akan ambil tindakan… (termasuk) tindakan Ketua Polis Daerah untuk melancarkan operasi setiap malam di semua daerah. untuk memastikan pematuhan pkpp di buat. Kita tak nak pusat-pusat hiburan ini bebas menjalankan aktiviti, nak buat bisnes. tapi ikut SOP," tegas Ayob Khan.

Ayob Khan Mydin Pitchay bersama pegawai dan anggotanya ketika mengadakan serbuah di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru.

Menurut Ayob Khan, kesemua tangkapan itu berumur antara 15 hingga 50 tahun.

Seramai 12 warga asing terdiri daripada rakyat China, England, Nigeria, UAE, Indonesia dan Taiwan turut ditahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Imigresen.

Manakala seorang lelaki warga Singapura disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen dan seorang wanita Thailand disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (C) akta yang sama.

Sementara 24 orang pekerja termasuk seorang wanita bertindak sebagai pengurus premis turut ditahan.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan dikompaun sebanyak RM1,000.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang remaja lelaki berumur 17 tahun ditahan kerana positif dadah jenis Methaphetamine.

  Pengunjung pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru yang ditahan polis.