Kerajaan telah mengenal pasti 249 individu yang akan berperanan sebagai Pembantu Pelindung iaitu sebuah konsep yang dilaksanakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016 atau Akta 611.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka yang dipilih adalah anggota komuniti yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah akta berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan, kesemua mereka juga telah melalui proses saringan yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

“Mereka yang bakal dilantik ini berperanan untuk membantu Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai first responder dan front liner dalam menangani kes penderaan, pengabaian dan yang berkaitan dengan pemeliharaan kanak-kanak.

“Konsep utama Pembantu Pelindung adalah untuk mempercepatkan proses menyelamat kanak-kanak yang berada dalam keadaan terancam dan terabai di kawasan komuniti setempat masing-masing selain penggunaan Talian Kasih 15999 oleh masyarakat umum untuk melaporkan kes-kes ini,” katanya semasa berucap melancarkan Program Kempen Keselamatan Kanak-kanak (Program 3K) 2018, anjuran Yayasan Wanita Islam di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha memelihara dan memastikan keselamatan kanak-kanak, perundangan, peraturan dan program sedia ada tidak memadai.

“Kerajaan turut komited dalam terus merangka dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

“Program dan aktiviti yang diaturkan adalah berlandaskan kepada Pelan Tindakan Kanak-kanak Negara; Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak Negara dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan,” ujarnya.

Justeru itu, tegas beliau, isu penjagaan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh kerana melindungi mereka merupakan tanggungjawab bersama ahli masyarakat.

“Dalam konteks keselamatan, keutamaan adalah memastikan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, pembangunan dan hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang memudaratkan didera dan dieksploitasi perlu diberi keutamaan oleh semua pihak,” kata beliau lagi.