Seramai 25 penghuni empat unit rumah flat dua tingkat yang terbakar di Blok B11, Lorong 6H, Taman Malihah, Kuching tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran petang tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Nor Hisham Mohammad ketika ditemui berkata, kebakaran berlaku ketika kebanyakan penghuni tiada di rumah, dan ini mengurangkan risiko kemalangann jiwa.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana anggota dan jentera berjaya bertindak dengan pantas sekali gus menghalang api merebak ke rumah-rumah lain yang terletak berdekatan.

Nor Hisham memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.50 petang dan dua jentera bersama dua ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dari Balai Petra Jaya dan Balai Batu Lintang dengan kekuatan 23 anggota.

flat, flat dua tingkat, Kuching, terbakar, kebakaran, JBPM, Taman Malihah, Sarawak,

Katanya, api berjaya dikawal dalam tempoh 40 minit.

"Siasatan awal mendapati api bermula di kediaman Unit 9, yang penghuninya tiada di rumah ketika kejadian.

Katanya, ketika pasukan tiba di lokasi, sebanyak dua unit rumah iaitu unit 9 dan 10 rumah di tingkat atas telah munsah 100 peratus, dan api sedang membakar ke unit bersebelahan iaitu Unit 11 dan 12.

“Ketika itu, api telah membakar sekitar 30 peratus unit-unit ini dan kita segera melakukan pemadaman agresif," katanya.

Rumah yang musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, kesemua mangsa yang terlibat akan ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Taman Malihah sementara menunggu keputusan untuk berpindah ke rumah tumpangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman yang ditemui ketika melawat mangsa berkata, pihaknya akan berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak untuk menyediakan bilik sementara bagi mangsa-mangsa terlibat.

“Kita akan menyediakan tempat untuk mereka tinggal secara sementara di flat Taman Dahlia. Kediaman ini khusus untuk mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal dan sanggup tinggal di flat tersebut untuk sementara waktu.

“Bagaimanapun kita mengalu-alukan jika mangsa mahu tinggal menumpang di rumah ahli keluarga,” katanya.