Sebanyak 253 projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia dari 2009 sehingga kini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata jumlah itu melibatkan 64,291 unit rumah dengan 43,538 pembeli.

"Daripada jumlah itu, 31 projek berjaya dipulihkan secara berperingkat menggunakan dana kerajaan sejak 2009 dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM204.8 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci dan Sijil Layak Menduduki (CFO) Projek Perumahan Terbengkalai Taman Tradisi Indah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Noh berkata Selangor mencatatkan jumlah projek perumahan swasta terbengkalai paling tinggi dengan 81 projek perumahan melibatkan 29,134 unit rumah dengan 20,640 pembeli.

"Bagaimanapun, sembilan daripada projek itu berjaya disiapkan termasuk di Taman Tradisi Indah ini dengan kos RM60 juta," katanya.

Menurutnya masalah kewangan merupakan faktor utama menyebabkan projek perumahan terbengkalai dengan kebanyakan kontraktor perumahan terbabit tidak mempunyai kewangan kukuh sekaligus tidak mahu menanggung bebanan hutang tinggi bagi meneruskan projek kendalian mereka.

"Apabila kontraktor berhadapan dengan pelbagai kos termasuk kos tambahan yang dikenakan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), ini menyebabkan mereka terpaksa mengundur diri daripada terus menjalankan projek tersebut atau diisytiharkan bankrap," katanya.

Selain rumah terbengkalai, katanya pembeli turut berdepan masalah rumah tidak dapat disiapkan berikutan pemaju tidak mempunyai Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan yang sah.

Di Semenanjung sahaja, kementerian itu mengenal pasti kira-kira 209 projek perumahan yang tidak dapat diduduki dan diteruskan ekoran pemaju tidak mempunyai lesen sah bagi membangunkan projek perumahan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 148 projek melibatkan kontraktor di Selangor...ini masalah yang serius sebab pihak kita tidak dapat membantu pembeli kerana masalah ketiadaan lesen.

"Sebab itulah kita selalu nasihatkan PBT supaya teliti setiap kontraktor yang ada kerana kita tidak mahu masalah ini terbeban ke atas pembeli," katanya.

-- BERNAMA