Polis meningkatkan usaha memburu saki baki lima penjenayah yang masih bebas di Pulau Pinang.

Operasi membabitkan 259 anggota termasuk daripada Unit Udara dan Pasukan Gerakan Am.

Polis juga meminta orang ramai supaya menyalur maklumat dan tidak memberi perlindungan kepada penjenayah.

Mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan dibawah seksyen 216 Kanun Keseksaan.

Dua daripada penjenayah terbabit ditembak mati dalam insiden tembak menembak di Kampung Padang Ibu, Guar Perahu, Butterworth.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan, suspek dikenali sebagai Mohd Fairuz Adam, 31 atau ‘Joe Mafia’ dan Mohd Noor Mustaffa atau ‘Boy’, 28 tahun.

Usaha memburu dibuat selepas menerima maklumat apabila kenderaan dinaikinya dilihat di kawasan Kubang Semang pada jam 12.45 tengahari Khamis.

Menyedari kenderaan diekori, suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

Selepas arahan berhenti tidak diendah, tembakan ke arah tayar dilepaskan dan kemudian terbabas ke dalam tali air.

Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan berjaya meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Ia kemudian terbabas dan ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor.

Dua daripada penjenayah berkenaan bagaimanapun berjaya diberkas semula, di lokasi kemalangan.