Sejumlah 26,188 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2018.

Jumlah yang dicatat pada 8 hingga 22 Jun itu melihat penurunan berbanding 32,949 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata jumlah itu tidak termasuk 35,948 lagi saman di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sejak sistem itu dikuatkuasakan pada 2017.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, kes melibatkan lesen memandu adalah sebanyak 5,356, kesalahan teknikal (1,372) dan lain-lain kesalahan (10,531).

"Sementara dua lagi kes iaitu lesen kenderaan motor dan tiada insurans (7,165) dan kesalahan utama (1,764).

"Sebanyak 1,764 melibatkan tujuh kesalahan utama iaitu tidak memakai tali pinggang keledar (262), langgar lampu isyarat (394), guna lorong kecemasan (226), guna telefon bimbit (203), guna lorong kanan secara berterusan (47), memotong garisan berkembar (271), memotong secara berbahaya (178) dan tidak memakai topi keledar (176).

"Dalam pada itu, kesalahan yang diletakkan di bawah Awas adalah 2,221 gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju (33,727)," katanya semasa sidang media selepas Program Pemantauan Trafik Udara JPJ bersama PLUS Sempena Cuti Perayaan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Ops HRA merupakan inisiatif Jabatan Pengangkutan Jalan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai akan pentingnya mematuhi segala peraturan jalan raya demi keselamatan masyarakat.

Ia sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya selain ikhtiar mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya di musim perayaan.

Kata Shaharuddin, sebanyak 75,135 kenderaan diperiksa sepanjang Ops HRA kali ini.

"Ia termasuk bas (11,752), lori (8,590), kereta (23,318) dan motosikal (31,475).

"Selain itu sebanyak 66,269 kenderaan telah diambil tindakan iaitu 749, lori (11,951), kereta (39,614), motosikal (13,339) dan lain-lain kenderaan termasuk teksi dan kereta sewa pandu (616)," ujarnya.

Jelas Shaharuddin lagi, strategi dirangka JPJ mampu meningkatkan lagi kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang yang telah ditetapkan dan seterusnya membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.