Sebanyak 26 kes baharu COVID-19 manakala satu lagi kluster baharu dikesan di Kedah sehingga jam 12.00 tengah hari Sabtu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 23 kes adalah terdiri daripada jangkitan tempatan dan tiga kes import.

"Sehingga 15 Ogos 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 26 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,175 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 219 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya lagi, 23 jangkitan tempatan itu, 20 kes melibatkan warganegara dan tiga bukan warganegara. Manakala tiga kes import melibatkan dua warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara.

Sehingga kini, enam pesakit positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan kumulatif kes kematian kekal 125 kes iaitu 1.36 peratus daripada keseluruhan kes.

KKM pada masa sama jelas Dr Noor Hisham, mengesan satu lagi kluster baharu dikenali sebagai kluster Sala di daerah Yan, Kedah.

Kes pertama kluster itu (kes-9148) merupakan warganegara tempatan yang dikesan positif COVID-19 pada 13 Ogos lalu melalui sistem survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan pada 14 Ogos 2020 dan kes-kes dikesan positif pada 15 Ogos 2020. Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148)

"Kesemua kes bagi kluster ini adalah warganegara Malaysia. Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan," kata Dr Noor Hisham.

Sehingga kini, empat kes positif dicatatkan dari kluster itu, manakala 76 individu masih menunggu keputusan saringan.