Seramai 26 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan di Jasin dekat sini, tengah malam tadi akibat banjir disebabkan hujan lebat sejak kelmarin.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Jasin Muhamad Alif Abd Rahman berkata mangsa yang terjejas ialah penduduk di Kampung Tanjung Laboh serta Parit Lampong, dan semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tehel.

"Mangsa terdiri daripada tujuh kanak-kanak, enam warga emas dan selebihnya orang dewasa. Situasi petang ini masih tidak berubah dan jumlah mangsa adalah sama seperti tengah hari tadi.

"Pusat pemindahan dibuka pukul 11.50 malam tadi setelah air naik di kawasan tersebut. Pemeriksaan petang ini mendapati air masih belum surut di kawasan rumah mangsa dan air masih penuh di kawasan sungai," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. -- BERNAMA