Pameran Antarabangsa Hotikultur Dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 melabuhkan tirai hari ini dengan pencapaian 26 Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dengan nilai RM2.8 bilion.

Pameran itu berjaya mewujudkan 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata MAHA 2018 kali ini dilihat berjaya mendapat sambutan memberangsangkan dari semua lapisan masyarakat.

"Saya berharap bahawa MAHA ini tidak menjadi sekadar satu pameran semata-mata.

"Seiring dengan konsep MAHA kali ini, para pengunjung sewajarnya memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam memajukan aktiviti agromakanan," kata ketika berucap dalam Majlis Penutup MAHA 2018 di sini, pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang berkongsi antara kejayaan MAHA 2018 mencatatkan jumlah pengunjung lebih 3 juta orang.

"Dengan penyertaan lebih 1,000 usahawan tempatan dan 42 peserta luar negara, jualan semasa direkodkan lebih RM150 juta, iaitu pencapaian melebihi 100 peratus sasaran.

Beliau yakin MAHA 2018 memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mendekati sektor pertanian, sekali gus menjadikan ia platform baik untuk memajukan sektor agromakanan negara.