Statistik Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan 26 peratus mangsa keganasan rumah tangga adalah lelaki.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata isu keganasan rumah tangga yang dilihat semakin memuncak pada masa kini menjadi sebab mengapa pihaknya melakukan pindaan terhadap Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017.

Jelasnya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula pada 2014 hingga Disember 2016, sejumlah 15,617 kes keganasan rumah tangga dilaporkan.

"Selalunya kita membawa pindaan kepada akta keganasan rumahtangga selalu difikirkan kepada isteri..selalu nya mangsa adalah wanita, namun ada 26 peratus sebenarnya suami," katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen di sini hari ini.

Mengikut statistik tersebut, 4,029 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga daripada keseluruhan kes yang dilaporkan menerusi statistik tersebut.

Lima elemen utama menjadi fokus KPWKM dalam pindaan tersebut termasuk memperluaskan tafsiran keganasan rumah tangga, mewujudkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), pemberian hak penghunian eksklusif kediaman bersama mangsa, memperkenalkan program pemulihan selain penambahbaikan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO).

Bacaan kali kedua pindaan RUU tersebut dilakukan Rohani di Dewan Rakyat pada Isnin dan sesi perbahasan akan berlanjutan hingga esok sebelum ia dibahas dan diluluskan.