Polis menyelamatkan 28 lelaki warga asing yang disyaki mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh paksa di sebuah rumah di Taman MBI Desaku, Padang Serai, Kulim, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, pemeriksaan ke atas sebuah rumah terbabit dilakukan pada 2.30 pagi selepas menerima maklumat berhubung kes berkenaan.

Katanya, kesemua mereka yang diselamatkan terdiri daripada 13 warga Bangladesh, lapan warga India dan tujuh warga Pakistan berumur antara 21 hingga 44 tahun.

Kesemua mereka dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

semasa serbuan dibuat, seorang lelaki disyaki penjaga mereka berjaya melarikan diri dengan melintas jalan raya Kulim-Baling sebelum masuk ke kawasan hutan. - Foto PDRM

Sapii berkata, siasatan awal mendapati mereka dikatakan baru tiba dari Kuala Lumpur dan diletakkan di rumah berkenaan sebagai tempat pengumpulan sementara sebelum dihantar ke tempat lain bagi tujuan pemerdagangan.

Katanya, semasa serbuan dibuat, seorang lelaki disyaki penjaga mereka berjaya melarikan diri dengan melintas jalan raya Kulim-Baling sebelum masuk ke kawasan hutan.

Pihak polis masih mengesan pemilik kenderaan itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.