IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa menetapkan 29 Jun hadapan sebagai tarikh keputusan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Keong didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.


Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan terakhir pihak pendakwaan dan pembelaan.


Pasukan pembelaan yang diketuai Datuk Rajpal Singh menutup kes pada 31 Mac lalu, selepas memanggil tiga saksi iaitu Paul Yong dan isteri, Chor Pei Sun, 47, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.


Mahkamah yang bersidang sebelum ini, memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 25 April, dan memfailkan jawapan balas pada 9 Mei.


Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh  memerintahkan Paul Yong membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.


Perintah itu dikeluarkan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.


Sepanjang prosiding, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dengan dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri.


Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang merupakan bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.


Dia dituduh di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.