Sebanyak 29 kes membabitkan kompaun berjumlah RM20,000 dikenakan ke atas majikan di sini yang gagal mendaftar perniagaan serta pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Januari lalu.

Pengurus Perkeso Taiping, Rafidah Abdul Rahim berkata tindakan tegas termasuk kompaun penting bagi memastikan ahli serta keluarga mereka mendapat pembelaan sewajarnya andai pekerja berdaftar itu terlibat dalam kemalangan atau kematian.

"Majikan yang gagal mendaftar dalam tempoh 30 hari boleh dikenakan kompaun maksimum RM5,000 di mahkamah mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja," katanya dalam sidang media di pejabat Perkeso di sini hari ini.

Selain itu, Rafidah berkata daerah Larut, Matang dan Selama serta Kerian mempunyai 13,574 majikan dengan jumlah pekerja berdaftar seramai 188,818 orang sehingga Mac tahun ini.

"Majikan yang aktif sehingga Mac tahun ini pula berjumlah 7,049," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rafidah berkata pihaknya telah membayar pampasan berjumlah RM2.2 juta membabitkan 1,024 kes tuntutan sejak Jan hingga Mac tahun ini, meningkat berbanding RM1.7 juta tahun lalu.

"Pembayaran itu membabitkan kes hilang upaya sementara, faedah pengurusan mayat, pencen ilat, pencen penakat dan pencen orang tanggungan.

"Kami juga sedang menyiasat lima kes penipuan tuntutan di daerah ini dan tidak teragak-agak untuk mendakwa mereka yang terbabit," katanya.

-- BERNAMA