Sebanyak 29 kes membabitkan pelbagai kesalahan jenayah yang diviralkan di media sosial sejak Januari hingga Mei lalu berjaya diselesaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata kejayaan itu adalah hasil maklumat dan kepantasan orang awam membantu polis dengan mengambil video serta menularkan ke laman sosial hingga tertangkapnya suspek.

Katanya, polis menerima 35 kes rakaman video yang ditularkan bermula Januari hingga Mei lalu dan 29 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam siasatan atau menunggu arahan daripada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Huzir berkata secara keseluruhannya kes jenayah viral yang berjaya diselesaikan PDRM seluruh negara membabitkan 83 peratus iaitu jenayah pemerasan, ugut, samun, merusuh, curi motosikal dan penderaan kanak-kanak.

"Daripada 29 kes yang diselesaikan itu, sejumlah 87 orang berjaya ditangkap, 25 daripadanya pula telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan, dan baki masih dalam siasatan polis, atau masih ditahan reman.

"Penghargaan kepada netizen hasil orang ramai yang salurkan jadi petunjuk polis hasil tangkapan positif," kata Huzir.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pulau Pinang pada Ahad.

Justeru, pihaknya menyeru orang awam supaya terus membantu pihak polis dengan memaklumkan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka melalui laman sosial Facebook dan Twitter PDRM atau WhatsApp di talian 019-301 9930.

Pada masa sama, Huzir mengingatkan orang awam supaya menghentikan penularan video kes lama berikutan ia memberi imej buruk kepada pasukan polis sedangkan penjenayah sudah diambil tindakan dan menerima hukuman.