MERIAH! Itu yang dapat digambarkan pada hari pertama Buka Puasa Mega Ala Madinah anjuran Kumpulan Media Karangkraf dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, semalam.

Majlis yang julung kali diadakan sempena Karnival Karangkraf x SifuFBads #BetulBetulRaya 2018 itu berjaya menarik hampir 3,000 orang untuk tidak melepaskan peluang merasai pengalaman duduk bersila beramai-ramai dan menikmati juadah berbuka puasa Ala Madinah yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta Kumpulan Media Karangkraf.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, jumlah tersebut mencapai sasaran yang ditetapkan pada hari pertama dan menganggarkan jumlah tersebut bakal bertambah pada hari ini dan esok.

“Untuk hari ini (semalam) kami sediakan juadah untuk 3,000 orang dan ia mencapai sasaran yang kami jangkakan selain sangat meriah dengan kehadiran pengunjung.

“Tetapi, esok (hari ini) dan Ahad kami menjangkakan ia ‘super’ meriah dan kami menyediakan juadah untuk 10,000 orang pada kedua-dua hari tersebut,” katanya.

BACA: Karnival Karangkraf Meriah Bersama Astro bermula Jumaat ini

Justeru, beliau menjemput orang ramai yang tidak berkesempatan hadir semalam untuk turut serta pada hari ini dan esok memeriahkan majlis berbuka puasa itu.

“Saya jemput kepada semua untuk bawa keluarga bersama-sama berbuka puasa. Kami sediakan juadah, tetapi pengunjung juga boleh turut membeli di gerai di tapak karnival ini.

“Kami turut sediakan kemudahan seperti masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah dan ruang parkir yang mencukupi. Selepas itu, pengunjung boleh sertai pelbagai program ilmu sepanjang karnival,” katanya.

VIDEO: Berbuka puasa ‘Ala Madinah’ di Karnival Karangkraf

Sementara itu, bagi Mohd Mazlan Omar, 42 tahun, beliau dan keluarga tidak melepaskan peluang menyertai majlis berbuka puasa itu selain menyifatkan penganjurannya cukup bagus dan perlu diteruskan.

“Saya dan keluarga merupakan pengunjung setia Karnival Karangkraf tahun-tahun sebelum ini. Apabila kami dapat tahu Karangkraf anjurkan majlis berbuka puasa ini, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk turut sama sertainya.

“Lagipun, dalam masa sama saya mahu memberikan pengalaman kepada anak-anak saya merasai cara berbuka puasa seperti ini,” katanya.

Bagi Wan Khairiyah Wan Daud, 30 tahun, pula, berbuka puasa Ala Madinah ini merupakan pengalaman pertamanya duduk bersila dan menikmati juadah berbuka beramai-ramai selain menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakannya.

“Saya tidak pernah berbuka puasa seperti ini dan memang sukar mencari tempat untuk berbuka puasa beramai-ramai macam ini. Malah, konsep buka puasa sebegini mampu mengeratkan silaturahim dengan kawan-kawan,” katanya.