KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menghantar balik 450 tan metrik sisa plastik tercemar daripada 10 buah kontena dan pada masa yang sama menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 50 buah kontena yang masuk secara haram.

Sejumlah 3,000 tan metrik sisa plastik daripada 60 buah kontena dijangka akan dihantar balik selepas pemeriksaan sepenuhnya dijalankan.

10 buah kontena tersebut yang akan dihantar balik adalah dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun, China dan Bangladesh. Ini adalah tambahan kepada 5 buah kontena yang telah dihantar balik ke Sepanyol pada 29 April 2019.

Kontena-kontena tersebut dipenuhi dengan sisa plastik yang tercemar, tidak homogen, berkualiti rendah, tidak boleh dikitar semula dan akan diproses di kilang-kilang yang tidak mempunyai teknologi kitar semula yang mesra alam.

Perbuatan ini jelas bertentangan dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974.

Proses pemeriksaan untuk mengenal pasti kandungan kontena dan negara pengeksportnya adalah sukar dan melibatkan kos tinggi.

Sehingga kini, MESTECC melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memeriksa 123 buah kontena yang berasal dari negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, China, Sepanyol, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Arab Saudi, Singapura, Bangladesh, Norway dan Perancis.

Proses pemeriksaan masih diteruskan.

Sejak Julai tahun lepas, JAS telah mengambil tindakan tegas secara besar-besaran ke atas kemasukan sisa plastik tercemar yang diimport.

Pada bulan Mac yang lalu, JAS memperluas aktiviti penguatkuasaannya melalui operasi bersepadu dengan pelbagai agensi untuk memeriksa kontena yang dipenuhi sisa plastik di Pelabuhan Klang.

Selaku negara ahli Konvensyen Basel, Malaysia mengenakan syarat ketat selaras dengan Artikel 4 (11) Konvensyen ke atas semua pengimportan sisa plastik bercampur (mixed plastic waste) untuk memastikan bahawa mana-mana pergerakan merentasi sempadan dilakukan menerusi kaedah yang akan melindungi alam sekitar serta menjamin kesihatan manusia.

Terdahulu, YB Yeo Bee Yin, Menteri MESTECC menyaksikan pemeriksaan penuh ke atas sembilan buah kontena di Pelabuhan Klang.

"Kami akan terus membanteras pengimportan sisa plastik yang tercemar. Kontena-kontena yang dibawa masuk secara haram ke negara ini dengan membuat pengisytiharan palsu dan kesalahan-kesalahan lain, jelas melanggar undang-undang alam sekitar kita.

"Sampah diperdagangkan melalui pengisytiharan palsu sebagai bahan kitar semula.

"Rakyat Malaysia terpaksa berdepan kualiti udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka plastik yang membawa kepada masalah kesihatan, sungai yang tercemar, tapak pelupusan haram dan pelbagai masalah lain yang berkaitan.

“Kami melihat pelaku kesalahan ini sebagai pengkhianat terhadap kelestarian negara dan oleh itu, kegiatan mereka perlu dihentikan dan mereka dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, sesiapa yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Kami mendapati bahawa satu syarikat kitar semula di United Kingdom telah mengeksport lebih daripada 50,000 tan metrik sisa plastik melalui 1,000 buah kontena sejak dua tahun yang lalu.

"Kami menggesa negara-negara maju untuk mengkaji semula pengurusan sisa plastik dan menghentikan penghantaran sampah ke negara-negara membangun.

“Kami akan mengumpulkan nama-nama syarikat kitar semula yang terlibat dan akan menghantar kepada kerajaan masing-masing untuk siasatan lanjut,” katanya.

Turut hadir semasa operasi pemeriksaan kontena hari ini ialah Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis, Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya dan Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Operasi bersepadu hari ini diketuai oleh JAS, bersama-sama dengan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Westports Malaysia.

JAS sebagai focal point kepada Konvensyen Basel akan memastikan hanya premis yang memenuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dibenarkan untuk mengimport plastik bersih untuk dikitar semula.

JAS komited untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan akan terus memantau situasi semasa.