Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan 3,100 permohonan bernilai RM596 juta di bawah Dana Rumah Mampu Milik untuk membolehkan golongan muda memiliki rumah pertama mereka.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah kelulusan itu dicapai selepas BNM melakukan penambahbaikan kriteria kelayakan dana berkenaan bagi membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama mereka.

“Penambahbaikan termasuk pendapatan maksimum bulanan dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum harta tanah dinaikkan kepada RM300,000.

“Penambahbaikan ini telah berkuat kuasa pada 1 September 2019,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH - Pasir Gudang) sewaktu sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Hassan ingin mengetahui sejauh mana kemajuan yang telah dicapai BNM bagi membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana itu, Guan Eng berkata, pembeli rumah pertama, terutamanya golongan muda akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsensi lebih murah daripada pasaran semasa.

Penurunan itu ialah sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang iaitu selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah serta tempoh pembiayaan lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya lagi.