ADA orang yang mengumpamakan aliran tunai perniagaan seperti darah manusia.

Jika ia kering, punahlah perniagaan

Namun begitu, tahukah anda bahawa terdapat tiga perkara yang anda boleh timbang bagi meningkatkan aliran tunai perniagaan:

1) Kutip bayaran daripada pelanggan secepat mungkin.

Bagi yang menjual secara tunai, ianya berlaku segera. Ada juga perniagaan yang mengambil deposit bagi pesanan yang besar. Dapat duit dahulu sebelum jualan disempurnakan.

Jika nak jual secara kredit, jangan bagi lama-lama sangat dan hadkan jualan kredit kepada pelanggan yang ada kemampuan kewangan yang kukuh dan rekod pembayaran yang baik sahaja.

2) Dapatkan kredit daripada pembekal

Mungkin pada permulaannya perniagaan anda perlu bayar tunai. Bina hubungan baik dengan pembekal dan jika boleh, tumpukan kepada beberapa pembekal sahaja.

Baru perniagaan anda menjadi penting kepada mereka. Bila ada rekod bagus, runding untuk dapatkan kredit. Ini membolehkan anda meningkatkan pusingan perniagaan tanpa menggunakan tunai.

3) Pastikan sentiasa membayar hutang pada masa yang dijanjikan

Uruskan stok pada kadar optima. Jika terlebih beli stok secara tunai, modal perniagaan anda tersangkut di dalam stok sehinggalah ianya dijual dan tunai dikutip.

Perhatikan jenis stok yang laju dan mana yang perlahan. Berhati-hati jika pembekal menawarkan stok pada harga murah, apa yang dia tahu yang kita tak tahu? Ada pasarankah untuk stok demikian?

Jika permintaan mana-mana stok seakan sudah menurun, turunkan harga dan jual cepat-cepat. Duit yang dikutip boleh digunakan untuk beli stok yang laku.

Ketiga-tiga langkah di atas hanya boleh dilaksanakan jika anda ada rekod yang tepat mengenai jualan, pelanggan, stok dan aliran tunai.

Ini menunjukkan pengurusan rekod perniagaan akan membolehkan anda mengurus perniagaan dengan lebih berkesan.

Adalah wajib bagi setiap perniagaan menyediakan akaun bulanan.

Jangan jadikan saiz perniagaan sebagai alasan. Jika tidak ada kemampuan, ambil perkhidmatan perakaunan dari firma perakaunan yang bertauliah.

Jika anda biarkan perniagaan berjalan tanpa memberikan tumpuan kepada pengurusan aliran tunai, jangan terkejut jika tiba-tiba akaun bank anda menjadi kering, stok bertimbun tidak terjual, ramai pelanggan lari tanpa membayar hutang dan perniagaan anda ada hutang di sekeliling pinggang.



* Nik Hasyudeen Yusoff merupakan bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.