MIRI:Tiga maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Long Lama Bakong, Miri petang tadi.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Bahagian Miri, kemalangan pukul 3.20 petang itu mengakibatkan penumpang Eyeo Chun Hua, 51 tahun; Tan Ai Shan, 28 tahun, dan Tan Kheng Wei, 11 tahun, maut di tempat kejadian manakala pemandu hanya mengalami cedera ringan.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Toyota Hilux itu sedang memotong sebuah kenderaan dari arah Lapok ke Miri.

Bagaimanapun, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan pacuan empat roda tersebut.

Impak rempuhan itu mengakibatkan penumpang hadapan kereta Alza itu tersepit manakala dua yang lain cedera parah. Pihak polis juga memaklumkan pemandu kereta Hilux terbabit telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan dan suspek kini sedang dikesan.

Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.