Tiga mayat dalam keadaan kembung ditemukan terapung di perairan Tanjung Malawali, Kudat, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi Khamis, kesemua mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dihantar ke Hospital Kudat untuk siasatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata mayat lelaki dijumpai hanya berseluar pendek dan dua mayat wanita pula tidak berpakaian.

"Mayat dua wanita ditemukan 50 meter dari pantai, manakala mayat lelaki 80 meter dari pantai berkenaan.

"Keadaan ketiga-tiga mayat sudah kembung dan tiada kesan-kesan luka atau kecederaan pada tubuh mayat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata mayat sukar dikenal pasti memandangkan tiada apa-apa bentuk pengenalan diri ditemukan.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Kudat untuk bedah siasat.

"Mana-mana individu yang ada kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Balai Polis Kerakit untuk tindakan lanjut," katanya.

Jelasnya, sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat Asisten Superintendan Hasrul Izwadi Badaruddin di talian 017-2455520.

Siasatan awal kejadian mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.