Tiga daripada 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui mati lemas selepas dipercayai terjun daripada sebuah bot yang membawa mereka masuk ke Malaysia.

Daripada jumlah itu, lima telah ditemui manakala 16 yang lain dipercayai masih hilang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata mereka yang maut ialah dua lelaki dan seorang perempuan berumur 35 hingga 45 tahun.

Katanya Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima laporan dari orang awam yang terjumpa lima orang mangsa di pantai Tanjung Penyusup, Kota tinggi, Johor.

"Sebuah bot peronda Maritim Malaysia telah ditugaskan ke kawasan berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa yang masih hilang.

"Kita menerima laporan kecemasan dari orang awam tersebut. Hasil siasatan dimaklumkan seramai 24 orang PATI telah terjun dari sebuah bot yang dipercayai membawa masuk PATI Malaysia. Seramai 8 mangsa telah ditemui termasuk tiga daripada mangsa telah meninggal dunia.

"Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada jam 7.15 pagi ini dengan melibatkan agensi penyelamat dari Maritim Malaysia, Polis, Bomba dan Tentera Darat dengan kekuatan pegawai dan anggota 36 orang.

“Sektor pencarian hari ini lebih kurang 11 batu nautika persegi di sepanjang perairan Tanjung Penyusip, Kota Tinggi, Johor,” katanya.